Friday, July 30, 2010

Ujian & Pengorbanan : Menuju Kegemilangan

Apabila kebenaran dan pembawanya telah dapat di kesan atau 'tercium baunya' oleh orang ramai, maka timbullah tiga golongan sebagai reaksi terhadap kebenaran tersebut. Ini berlaku sewaktu kemunculan Rasulullah. Tiga golongan itu adalah:

1. Golongan Hasad Dengki
2. Golongan Acuh Tak Acuh
3. Golongan Prihatin

Di sini akan dihuraikan secara lebih detail golongan yang ketiga; golongan prihatin.

Golongan ini terdiri daripada orang-orang yang memandang besar terhadap kebenaran itu, lalu cuba dan berusaha mencarinya. Untuk mendapat kebenaran itu, mereka begitu bersusah payah mencari pembawanya hingga ada di kalangan mereka yang tertawan dan terpaksa menjadi hamba abdi. Ada di kalangan mereka yang telah dijadikan hamba tebusan dan dijual dari satu tangan ke tangan yang lain. Akhirnya dengan kebesaran rahmat Allah SWT dan limpah kasih sayangNya, Allah SWT temukan mereka dengan kebenaran yang dicari-cari itu.

Orang-orang begini sepertilah Salman Al Farsi, Huzaifah Al Yamani, Shuhaib Ar Rumi, Bilal Al Habsyi.

Salman Al Farsi telah menjadi hamba beberapa lama barulah dapat bertemu dengan Rasulullah dan dapat bertemu kebenaran. Sayidina Bilal juga telah beberapa lama menjadi hamba kepada Umaiyah bin Khalaf barulah bertemu kebenaran. Sesudah bertemu kebenaran pula, dia dibelasah, dipukul, dan dicampak di tengah padang pasir yang iklimnya panas terik di siangnya dan terlalu sejuk di malam harinya.

Tetapi oleh kerana kebenaran adalah amat agung, amat besar, yang menenangkan jiwa, fizikal yang begitu teruk diseksa tidak terasa sakit kerana hatinya terhibur. Sewaktu diazab hanya tasbih kedengaran, "Ahad...Ahad...Ahad..."

Akhirnya setelah melalui derita yang perit, susah payah, mereka bertemu dengan Rasulullah dan kebenaran yang sebenar.

No comments:

Post a Comment