Friday, July 30, 2010

Sifat dan Watak : Munculnya Kebenaran

Fitrah manusia inginkan kebenaran hakiki tidak akan dapat difikirkan oleh otak manusia. Bahkan otak manusia tidak mampu untuk menciptanya. Walau didatangkan manusia yang bijak-bijak; profesor, ahli-ahli falsafah, cerdik pandai dan sebagainya, untuk memikirkan kebenaran, tentu mereka tidak akan dapat memikirkannya.

Sebab kebenaran itu terlalu tinggi nilainya. Kebenaran itu sangat berharga, kebenaran itu adalah keselamatan di dunia dan di akhirat. Tidak mungkin manusia boleh menciptanya.

Kebenaran datangnya dari Allah sendiri. Allah lah Al-Haq. Kebenaran itulah yang dibawa oleh Rasul. Juga dibawa oleh para malaikat dan para wali.

Kebenaran itu adalah Akhirat.
Kebenaran itu adalah Syurga dan Neraka.

Kebenaran itu adalah keadilan dan kasih sayang, ukhwah, hidup yang harmoni, rasa bersama dan kerjasama, bertolak ansur, bertolong bantu, bermaaf-maafan dan sebagainya.

Apabila dikatakan kebenaran, itulah yang dikatakan syariat dan sunnah Rasulullah.

Apakah ini semua boleh dicipta oleh otak manusia? Apakah ini boleh difikirkan oleh manusia? Tidak mungkin. Kalau begitu kebenaran itu hanya datang dari Allah semata-mata. Selain daripada Allah tidak dapat siapa pun menciptanya sekalipun para Rasul.

Cuma rasul-rasul itu dapat dan mengetahui kebenaran. Kerana ia disampaikan dan diberitahu oleh Allah SWT. Dalam soal ini Allah sudah mengingatkan kita untuk kita terapkan keyakinan itu di dalam hati kita. FirmanNya:

Yang haq itu datangnya daripada Tuhanmu. Maka jangan pula kamu menjadi orang yang menentangnya. (Ali Imran: 60)

Allah menyatakan kepada kita kebenaran itu hanya datang daripadaNya. Selain daripada Allah tidak dapat mencipta kebenaran. Jangan anggap manusia ini boleh mencipta kebenaran walaupun manusia yang paling bijak sekalipun. Jadi kebenaran hanya datang daripada Allah.

No comments:

Post a Comment